Saturday, 16 November 2013

Kita Sama

Kita
Dilahirkan dengan akal
Yang dengannya kita disuruh berfikir
Menimbang antara baik dan buruk
Bahkan memilih apa yang dirasakan terbaik
Menurut justifikasi wahyu Ilahi

Kita
Mungkin kita berbeza fikrah
Jalan haluan berbeza arah
Tapi kita punya satu destinasi
Puncak cinta Ilahi
Matlamat hakiki menuju ukhrawi

Kita
Tiada bezanya kita
Usah berbalah jangan berpecah
Bertikam lidah menyala amarah
Nanti kan ada yang bersorak meriah
Ayuh sepakat membangun ummah

Apapun Untuk Islam

Nak jadi doktor, jadilah doktor untuk Islam.
Menjaga kebajikan dan memelihara maruah pesakit.

Nak jadi tukang masak, jadilah tukang masak untuk Islam.
Dengan ikhlas menjaga kebersihan dan halalnya makanan.

Nak jadi karyawan, jadilah karyawan untuk Islam.
Menyampaikan dakwah ke arah mardhatillah.

Nak jadi usahawan, jadilah usahawan untuk Islam.
Menjauhi riba dan bertimbang rasa dalam muamalat.

Nak jadi peguam, jadilah peguam untuk Islam.
Menegakkan keadilan dan melawan kebatilan.

Nak jadi guru, jadilah guru untuk Islam.
Mendidik anak bangsa mengenal pencipta dan berakhlak mulia.

Nak jadi kaya, jadilah kaya untuk Islam.
Menginfakkan harta dan membangunkan ummah.

JADILAH KITA APAPUN, ASALKAN UNTUK ISLAM.

Aku Karyawan Kecil

Aku
Bukan sang pemimpi
Yang mengimpikan bisa terbang di angkasa
Bebas riang bersama kawanan burung

Aku
Bukan sang pencerah
Yang bisa menerangi kelam cahaya
Samar dalam terangnya siang
















Aku
Belum bisa jadi sang murobbi
Bagi menuntuni langkah ummat madani
Membangunkan jiwa ke jalan redhaNya

Aku
Masih cuma karyawan kecil
Melakar nota-nota cinta
Melukis dengan tinta pena
Menebarkan cinta dengan kalam pujangga
Semoga wadah ini tidak tersia-sia

artra 12:10am,
Nilai

TERIMA KASIH AYAH

CERPEN 1:

Si anak tercungap-cungap, berusaha untuk bernafas dengan normal. Malangnya semakin lama ruang nafasnya terasa semakin sempit. Dia baring meniarap, cuba mengurangkan sesak di dada. Tidurnya yang sejak tadi masih belum lena. Kedengaran bunyi nafasnya laju, turun naik dadanya mengikut rentak denyutan jantung yang dirasakan laju. Penat.

Si ayah yang baru pulang menuju ke birai katil si anak. Lelaki yang berusia hampir separuh abad itu melihat anaknya dengan sayu. Tidak sampai hatinya melihat si anak menanggung sesak di dada. Penyakit athmanya itu agak teruk ketika itu. "Nak, mari ayah bawa ke hospital, sedut gas. Mari." Dia memujuk anaknya itu dengan lembut. Si anak agak keberatan untuk bangun. Tambahan keadaannya agak lemah dan tidak selesa. Lututnya terasa longgar. Badannya terasa berkuap.

Akhirnya si anak akur. Perlahan-lahan dia cuba untuk bangun dan mempersiapkan diri untuk ke hospital. Si ayah menghidupkan enjin motosikal, membiarkan ia panas seketika. Dengan lemah longlai si anak melangkah ke luar rumah, bersedia untuk pergi. Jam menghampiri pukul 1.30 pagi. Dalam dingin dinihari itu, dua-beranak itu meredah kepekatan malam, diterangi cahaya lampu jalan. Terketar-ketar kaki si anak sambil si ayah menunggang dengan cermat. Untung kenderaan tidak banyak sementelahan hari sudah lewat.

Hampir 20 minit juga, barulah mereka tiba di hospital yang dituju, langsung si ayah membawa anaknya ke unit kecemasan luar. Si anak diberi sedutan gas sehinggalah kering cecair yang dimasukkan. Lalu si anak disuruh berehat selama lebih setengah jam sebelum berjumpa doktor. Doktor memeriksa keadaan pernafasannya. Masih belum memuaskan. Disuruhnya menyedut gas untuk kali kedua. Namun, pusingan kedua masih tidak cukup. Sehinggalah sedutan kali ketiga, doktor membenarkan mereka pulang.

Sejuk. Subuh hampir menjengah. Dua beranak itu menyusuri jalan pulang. Kenderaan mulai banyak berbanding sebelumnya. Sekali lagi kedua-dua belah kaki si anak terketar-ketar dipuput dingin bayu pagi, seiring dengan deruan enjin motosikal yang diboncengnya. Kali ini lebih laju ketarannya, kesan ubat yang memasuki tubuhnya. Si anak memaut pinggang si ayah. Sayu, terasa kehangatan kasih si ayah. Hati kecilnya berbisik, "Terima kasih ayah atas pengorbananmu."

Jazakumullah kheir ^^


Terima Kasih.

Datang Lagi!!