Gadis
itu merenung jauh ke luar jendela. Burung-burung yang berterbangan berkawanan
di awan biru menjadi hiburannya di saat itu. Tidak semena-mena manik-manik
jernih mengalir keluar dari anak matanya yang tadinya berkaca. Daripada titisan
bertukar menjadi aliran yang dirasakan hangat. Hidungnya turut dirasakan berair.
Ya, dia sedang menangis. Kolam tangisan yang sudah lama ditahan daripada terhambur.
Bersama tangisan itu dapat dirasakan suatu kepuasan dan kelapangan di dadanya.
Terasa beban kesakitan yang dipendamnya selama ini sedikit berkurang.
Fikirannya melayang, terbang secara berundur ke masa lalu. Saat dia mula
mengenali seseorang yang disangkakan sahabat sejati.
…………………………………………………
“Hai,
assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
“Nama
saya Fatihah. Nice to meet you.”
“Saya
Adibah.” Dia menjawab ringkas dengan sedikit senyuman. Barangkali tidak tahu
untuk membalas ucapan yang berbahasa Inggeris itu.
Fatihah,
gadis periang itulah orang pertama yang dikenalinya sejak kali pertama
melangkah masuk ke alam kolej. Fatihah merupakan seorang yang agak lincah,
berpakaian agak kasual dan santai. Dia selesa memakai baju kemeja atau blaus
dan dipadankan dengan jeans longgar. Agak jarang sekali dia memakai baju kurung
melainkan jika ada majlis-majlis yang memerlukannya memakai pakaian tradisi
Melayu tersebut. Rimas katanya selain membataskan pergerakannya.
Sungguhpun
perwatakannya begitu, namun Fatihah tidak segan berkawan dengan Adibah, seorang
gadis yang sopan, lemah-lembut dan tidak banyak bercakap. Adibah lebih banyak
mendengar berbanding berkata-kata. Dia hanya akan bercakap apabila dirasakan
perlu. Adibah sering sahaja menjadi tempat untuk Fatihah menceritakan
kisah-kisah lucunya sehari-hari dan berkongsi masalah. Sebagai sahabat karib
yang mengenali dan memahami Fatihah, Adibah tidak jemu memberikan kata nasihat
dan perangsang kepada Fatihah walaupun Fatihah sering memberontak.
Aneh
bukan? Bagaimana mereka boleh berkawan rapat sedangkan kedua-duanya kelihatan
sangat berbeza dari segi perwatakan. Rakan-rakan mereka turut hairan melihat
keakraban mereka. Ada juga kata-kata sinis yang kononnya Fatihah sengaja ingin
mengambil kesempatan atas kebaikan Adibah. Adibah hanya menulikan telinga
tatkala mendengar desas-desus sebegitu. Baginya biarlah dia ikhlas dalam
persahabatannya dan hatinya sangat yakin bahawa Fatihah juga begitu. Dia tidak
mahu kepercayaannya terhadap Fatihah terjejas.
Adibah
terus berkawan dengan Fatihah seperti biasa. Dia seorang yang ringan tulang dan
tidak mudah menolak jika Fatihah memerlukan pertolongan, bahkan dia sendiri
selalunya akan menawarkan diri untuk menolong. Walaupun mereka tidak tinggal
sebilik di kolej kediaman, namun Adibah rajin bertandang ke bilik Fatihah.
Kebaikan
Adibah terhadap Fatihah mengundang cakap-cakap belakang kononnya Fatihah
membuli Adibah. Seperti biasa Adibah terus memekakkan telinga walaupun hatinya
sudah mula sedikit kurang enak. Kata-kata liar itu seakan-akan sudah mula mempengaruhinya. Dia mula sedikit sangsi,
namun cuba disorokkan perasaan itu tatkala berada di samping Fatihah. Pesanan
seorang rakan sebiliknya pada suatu hari membuatkan dia sedikit berhati-hati
agar tidak menjadi ‘pak turut’ kepada Fatihah.
“Adibah,
awak jangan marah ya kalau saya nak cakap sesuatu.” Suhailah memulakan bicara.
“Cakaplah,
ada apa-apa yang awak rasa tak kena ke dengan saya.” Adibah menjawab sambil
menguntum senyuman di bibir.
“Bukan
apa, saya tengok awak ni baik sangat dengan Fatihah tu. Saya bukannya tak suka cuma
saya tengok kadang-kadang dia tu macam nak ambil kesempatan je atas kebaikan
awak.”
“Oh
ye ke…? Nampak sangat ke? Saya tak rasa macam tu pun.” Adibah menjawab sedikit
berbohong. Jauh di sudut hatinya dia sudah mula merasakan kelainan dalam
hubungannya dengan Fatihah. Keikhlasan Fatihah mula diraguinya.
“Tak
mengapalah kalau awak tak rasa macam tu. Cuma saya harap awak berhati-hati je
dengan dia. Tak salah kita berkawan dan berbuat baik dengan orang, tapi jangan
sampai orang memijak kepala kita."
Walaupun
dia sedar tidak elok dia bersangka buruk namun dia mengambil langkah tersebut
bagi mengelakkan dirinya dipergunakan dan diambil kesempatan.








.jpg)
