Sunday, 11 May 2014

TOPENG (Bahagian 1)

Gadis itu merenung jauh ke luar jendela. Burung-burung yang berterbangan berkawanan di awan biru menjadi hiburannya di saat itu. Tidak semena-mena manik-manik jernih mengalir keluar dari anak matanya yang tadinya berkaca. Daripada titisan bertukar menjadi aliran yang dirasakan hangat. Hidungnya turut dirasakan berair. Ya, dia sedang menangis. Kolam tangisan yang sudah lama ditahan daripada terhambur. Bersama tangisan itu dapat dirasakan suatu kepuasan dan kelapangan di dadanya. Terasa beban kesakitan yang dipendamnya selama ini sedikit berkurang. Fikirannya melayang, terbang secara berundur ke masa lalu. Saat dia mula mengenali seseorang yang disangkakan sahabat sejati.
…………………………………………………

“Hai, assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

“Nama saya Fatihah. Nice to meet you.”

“Saya Adibah.” Dia menjawab ringkas dengan sedikit senyuman. Barangkali tidak tahu untuk membalas ucapan yang berbahasa Inggeris itu.

Fatihah, gadis periang itulah orang pertama yang dikenalinya sejak kali pertama melangkah masuk ke alam kolej. Fatihah merupakan seorang yang agak lincah, berpakaian agak kasual dan santai. Dia selesa memakai baju kemeja atau blaus dan dipadankan dengan jeans longgar. Agak jarang sekali dia memakai baju kurung melainkan jika ada majlis-majlis yang memerlukannya memakai pakaian tradisi Melayu tersebut. Rimas katanya selain membataskan pergerakannya.

Sungguhpun perwatakannya begitu, namun Fatihah tidak segan berkawan dengan Adibah, seorang gadis yang sopan, lemah-lembut dan tidak banyak bercakap. Adibah lebih banyak mendengar berbanding berkata-kata. Dia hanya akan bercakap apabila dirasakan perlu. Adibah sering sahaja menjadi tempat untuk Fatihah menceritakan kisah-kisah lucunya sehari-hari dan berkongsi masalah. Sebagai sahabat karib yang mengenali dan memahami Fatihah, Adibah tidak jemu memberikan kata nasihat dan perangsang kepada Fatihah walaupun Fatihah sering memberontak.

Aneh bukan? Bagaimana mereka boleh berkawan rapat sedangkan kedua-duanya kelihatan sangat berbeza dari segi perwatakan. Rakan-rakan mereka turut hairan melihat keakraban mereka. Ada juga kata-kata sinis yang kononnya Fatihah sengaja ingin mengambil kesempatan atas kebaikan Adibah. Adibah hanya menulikan telinga tatkala mendengar desas-desus sebegitu. Baginya biarlah dia ikhlas dalam persahabatannya dan hatinya sangat yakin bahawa Fatihah juga begitu. Dia tidak mahu kepercayaannya terhadap Fatihah terjejas.

Adibah terus berkawan dengan Fatihah seperti biasa. Dia seorang yang ringan tulang dan tidak mudah menolak jika Fatihah memerlukan pertolongan, bahkan dia sendiri selalunya akan menawarkan diri untuk menolong. Walaupun mereka tidak tinggal sebilik di kolej kediaman, namun Adibah rajin bertandang ke bilik Fatihah.

Kebaikan Adibah terhadap Fatihah mengundang cakap-cakap belakang kononnya Fatihah membuli Adibah. Seperti biasa Adibah terus memekakkan telinga walaupun hatinya sudah mula sedikit kurang enak. Kata-kata liar itu seakan-akan sudah mula  mempengaruhinya. Dia mula sedikit sangsi, namun cuba disorokkan perasaan itu tatkala berada di samping Fatihah. Pesanan seorang rakan sebiliknya pada suatu hari membuatkan dia sedikit berhati-hati agar tidak menjadi ‘pak turut’ kepada Fatihah.

“Adibah, awak jangan marah ya kalau saya nak cakap sesuatu.” Suhailah memulakan bicara.

“Cakaplah, ada apa-apa yang awak rasa tak kena ke dengan saya.” Adibah menjawab sambil menguntum senyuman di bibir.

“Bukan apa, saya tengok awak ni baik sangat dengan Fatihah tu. Saya bukannya tak suka cuma saya tengok kadang-kadang dia tu macam nak ambil kesempatan je atas kebaikan awak.”

“Oh ye ke…? Nampak sangat ke? Saya tak rasa macam tu pun.” Adibah menjawab sedikit berbohong. Jauh di sudut hatinya dia sudah mula merasakan kelainan dalam hubungannya dengan Fatihah. Keikhlasan Fatihah mula diraguinya.

“Tak mengapalah kalau awak tak rasa macam tu. Cuma saya harap awak berhati-hati je dengan dia. Tak salah kita berkawan dan berbuat baik dengan orang, tapi jangan sampai orang memijak kepala kita."

Walaupun dia sedar tidak elok dia bersangka buruk namun dia mengambil langkah tersebut bagi mengelakkan dirinya dipergunakan dan diambil kesempatan.


1 comments:

Jazakumullah kheir ^^


Terima Kasih.

Datang Lagi!!