Friday, 26 September 2014

Rafael Si Mata Coklat

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Hari ni tiada cerita panjang, sekadar nak kongsi gambar murid baru di kelas saya, Ibnu Thabit. Si mata coklat ni namanya Rafael. Dia ni berasal dari Australia. Tinggal di Malaysia sebab ikut ayah dia yang bekerja sebagai pensyarah di universiti tempatan. Umurnya tujuh tahun. Maniskan senyuman dia? Hehe...

Yang menariknya, dia ni bukan Muslim tapi belajar di sekolah yang Islamik dalam kalangan pelajar Muslim. Dia turut serta ketika kelas bagi subjek2 agama dijalankan.

Wednesday, 17 September 2014

Kagum!!

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah tadi baru selesai mendengar tazkirah yang disampaikan oleh seorang pelajar tahfiz lelaki, Sulaiman. MasyaAllah, tabarakallah. Semoga Allah memelihara anak ini dan menjadikannya seorang anak yang soleh dan bermanfaat untuk ummah.

Baru berusia 12 tahun, bicaranya petah, serius menyampaikan mesej, dengan gaya bersahaja serta diselitkan dengan unsur humor, menarik perhatian audien yang tak jemu mendengar ucapannya. Nak dibandingkan dengan saya, saya akui kanak2 pramatang ini jauh lebih berkeyakinan dan berilmu daripada saya. Tampaknya dia seorang yang banyak membaca.

Bermula dengan pengkisahan intipati Surah Maryam, tuturnya lancar sehinggalah dikaitkan dengan surah2 lain di dalam Al-Quran iaitu Al-'Asr dan Al-Kautsar. Anak ini berkongsi tentang keistimewaan yang dianugerahkan Allah kepada Maryam yang antaranya melahirkan anak sedangkan dia mandul. Bertambah hebat lagi apabila anak yang dilahirkan itu bisa bercakap seawal kelahirannya yang menjadi tanda seorang nabi iaitu Nabi Isa a.s.

Sulaiman turut menyampaikan mesej tentang kepentingan menjaga masa, mengisi masa agar masa tidak dibiarkan tersia2 kerana bila2 masa sahaja Allah bisa mencabut nyawa kita.

Janggal

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Syukur kepada Allah kerana memberi peluang untuk saya terus bernafas, menghirup udara pinjamannya, memberi kelangsungan untuk menikmati manisnya saat2 bersama insan2 tersayang, mengharungi ujian2 penghapus dosa sehingga terus bisa mencoretkan kisah2 itu di lembaran ini.

Janggal...satu kisah kehidupan bagi seorang yang baru menyertai sekelompok manusia yang baru. Igauan saya itu benar2 berlaku. Pertama kali saya memasuki kelompok di Brainy Bunch Islamic Montessori ni, gelanggang baru dan asing bagi saya yang secara naturalnya bersifat agak pemalu dan penyegan, saya cuba membayangkan bagaimana saya bisa bergaul dengan kelompok ini yang agak trendy, happy go lucky dan havoc. Saya pun tak nafikan saya boleh jadi seperti mereka but in my own way and person yang sekepala. Alhamdulillah I found one.

She is Kak Sulha. Bermula hari pertama saya jumpa dia saya dah dapat rasakan keserasian dengan dia. We can get along. InsyaAllah. Walaupun baru memasuki minggu kedua, kami banyak berkongsi kisah, masalah dan pendapat. Dia menawarkan diri untuk mendengar masalah saya. Mungkin dia boleh membaca daripada wajah saya.

Haha...memang tak dinafikan kami mempunyai banyak persamaan sampaikan budak2 tahfiz yang di bawah jagaan kami pun cakap macam tu. Cara

Sunday, 7 September 2014

Maha Tahu

Dia maha tahu
Mana layaknya untukmu
Ke mana hala tujumu
Sebelum kau merancang
Dia sudah tahu
Sebelum sempat kau terfikir
Dia memang mengetahui
Bagaimana akhirmu nanti
Dia serba tahu
Tiada baginya rahsia 

Di depanNya
Mana bisa kau berselindung
Dia tiada bertempat
KuasaNya menyeluruh segenap ruang
Tiada batasan yang menghalang
Al-Muhit Dia ketahui apa sekelilingmu
Menembusi ilmuNya akan akalmu
Tersorok tiada apa di hatimu
Daripada Al-Basir yang Maha Melihat
Tidak terlepas walau sesaat

Nilai,
10:31pm,
05/09/2014.

Friday, 5 September 2014

Buat Buku di IHRAM

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.

Sayang, apa khabar denganmu??? Hehe...dah berbulan2 tak update blog, jadi hari ni saya singgah sekejap untuk bersihkan, sapu2, buang2 sawang yang ada. SAWANG MAKNAWI laa sebab tak nampak kan...sawang di hati pun jangan lupa dibersihkan sama. Hurm...tak sempat dan tak 'check up' nak update sebab dah puas menaip di office.

Alhamdulillah, Rabu lepas saya telah menamatkan kontrak sebagai pembantu projek di bawah seliaan Dr. Alina dan suaminya En. Hisham. Terima kasih tak terhingga kepada mereka berdua kerana telah memberi peluang kepada saya dan empat orang lagi rakan untuk menimba ilmu dan pengalaman dalam penulisan buku, di sampingan mendapat pengetahuan dan maklumat dalam bidang sains makanan.

Saya mula bekerja di IHRAM atau Institute of Halal Research and Management di USIM pada awal Julai yang lalu sehingga 3 September. Saya bekerja di bawah seorang ketua yang tegas tetapi baik hati dan pemurah. Biasalah kan, manusia ni kalau tak didisiplinkan, maka kerja susah nak jalan! Kena pula bos kami kedua2nya bekas askar, memang mereka sangat menjaga soal masa.

Bercakap tentang alam kerjaya sebagai pembantu projek dalam penerbitan buku berkaitan keracunan makanan, banyak pengalaman dapat dikutip. Proses menulis buku ni sebenarnya macam buat tesis juga la. Mula2 cari bahan samada daripada buku, internet, dan slide. Kami guna teknik 'picture snapping'.
Ambil gambar banyak2 lepas tu sort out ikut topik dan bab yang telah disusun. Kami buat kerja dalam kumpulan seramai lima orang. Jadi, masing2 akan ambil bahagian masing2.

Lepas tu, bermulalah proses mengekstrak isi penting dan menaipnya dalam bentuk point. Jenuh juga la nak pilih2 isi tu...penar butir mato sapa....(in kelantanese dialect)...hihi...Bila dah taip point2 tu, barulah buat citation atau letak reference, ikut format standard USIM. sebab projek buku ni di bawah USIM.

Seronok ke kerja sebagai pembantu projek buku ni?? Seronoknya sebab saya boleh belajar cara2 buat buku, bermula daripada penyediaan 'raw material' daripada rujukan2 sehinggalah peringkat editing. Walaupun kami hanya bantu ekstrak bahan dari sumber2, tapi kami turut diberi pengetahuan tentang bagaimana sesuatu buku tu boleh diterbitkan. Menurut kata bos kami, untuk menerbitkan sesebuah buku tu, kita kena ada paling kurang RM 5000 sebagai modal untuk mencetak buku.

Sejujurnya, saya minat menulis dan menyimpan impian untuk menulis buku sendiri suatu hari nanti. Saya lebih minat untuk menulis tentang perkara yang ringan2 saja. Kalau kawan2 tengok di blog saya ni saya banyak menghasilkan puisi kan...insyaAllah, doakan saya tau!

Ok, sekarang saya nak bercerita tentang kenangan yang tak boleh saya lupaka di IHRAM. Untuk tempoh dua bulan bekerja di IHRAM, tempoh yang singkat saya telah diraikan dengan sambutan hari lahir saya yang ke-23. Terharu teman!! Bulan puasa hari tu beberapa kali juga kami berbuka puasa di ofis. Di bulan Syawal pula kami dijemput beraya di rumah bos. Alhamdulillah...Terima kasih banyak2 kepada En Hisham dan Dr Alina. Jasa kalian sungguh tak terbalas. Semoga Allah tambahkan kekayaan kalian untuk Islam.

Hehe...memang tak lengkap la hidup ni, tak meriah la kalau tiada kawan2 untuk menceriakan suasana kerja. Yang tak tahannya bila bos takde semua jadi 'havoc'. Pasang lagu, berkarok sakan dengan cerita2 yang melucukan. Bila bos masuk, semua senyap, tunduk, laju je menaip. Haha...terima kasih kawan2, Aida, Nadiah, Ada dan Yana. Seronok bekerja dengan awak2 semua. Siapa sangka saya, Aida dan Nadiah bersama sejak tamhidi, degree sehinggalah bekerja walaupun 2 bulan je. Semoga allah pelihara ukhuwwah kita. Saya doakan kawan2 saya yang baik, comel, dan cantik manis ni berjaya dan dimudahkan urusan dalam pengajian, kerjaya dan rumahtangga. Jangan lupa bagitahu kalau nak buat nasi minyak tau!! Saya memang kurang minat nasi minyak, ambil bau pun jadi laa..haha..Jumpa lagi lepas ni dengan izin Allah. Wassalam.




Tahun Penuh Tragedi

Tahun ini 
Penuh tragedi
Sarat dengan ujian
Duri di sepanjang jalan
Syukur Tuhan masih menyayangi 
Meski kita sering alpa

Tabah
Redha
Belajar menerima takdir
Menyemak helaian buku terdahulu
Atas dosa apakah kita diduga

Jangan angkuh
Usah sombong
Jangan berasa diri cukup mulia
Tiada bersalah dari dosa
Tapi mengakulah diri hina
Hina di hadapan Allah yang Esa


Nilai,
10:04pm,
08/08/2014.



Monday, 23 June 2014

Ramadhan Yang Kunanti

Hari ini
Kurang sepurnama lagi
Tirai Syaaban akan berlabuh
Lalu tersingkaplah tabir Ramadhan
Bulan barakah penuh kemuliaan
Bulan keampunan pahala digandakan

Ramadhan tahun ini
Kumohon agar aku diberi ruang lagi
Buat kutebus silapku yang dulu

Sungguh
Sungguh kumerindui madrasah itu
Sekolah buat nafsu yang sering membelenggu
Nafsu yang rakus meratah imanku
Sehingga kuhanyut dalam lautan dosa

Ramadhan
Nanti jika kita bersua lagi
Takkan kulepaskan kau pergi begitu sahaja
Akanku genggam kau erat dan kemas
Sehingga terlerai pautan nafsu
Inginku sambut tawaran istimewa Ilahi
Inginku raih keampunan dariNya
Inginku gamit malam seribu bulan
Inginku bersihkan hitam hati
Agar kembali hidup jiwa yang mati
Di penghujung Ramadhan itu nanti

Ya Tuhan
Sampaikanlah aku kepadanya
Ramadhan yang kunanti

Pantai Dalam, KL
02/06/2014

K.U.S.U.T

Kusut
Buntu dan kaku
Lorongan manakah harus dituju
Bingung merajai pangkalan minda
Hingga mati waras deria
Dilema bertandang 
Memilih antara dua
Dua warna yang seakan sama

Bingung
Diluah memakan diri
Dipendam batin terseksa
Sakitnya menyentap tangkai hati
Bergetar menahan pedih
Luluh dan robek sukar dipulih

Akhirnya
Munajat Ilahi pengubatnya
Mohon disuluh lorong yang pasti
Jalan redhaNya menuju syurgawi
Agar pedih luka kembali pulih
Penawarnya redha qadar Ilahi
Setelah usahamu sehabis mahu

Pantai Dalam, KL
23/05/2014
1.10am

Alam Sudah Sakit

Kasihannya
Air sungai terbatuk
Udara yang dihirup terasa kelat
Sedihnya terlihat tanah
Merah pucat gersang hamparannya
Langit mendung dengan debu
Tiada lagi awan menutup hangat mentari
Biarpun zulumat hari mendatang
Bahang siangnya membawa ke malam
Cuma sesekali angin lembut menyapa

Nun lihat pula di jalanan
Di kiri kanan di dalam saliran
Saratnya bukan dengan sekadar air
Sesaknya dengan himpunan sampah
Tersekat alirannya
Longlai menuju ke muara

Ini akibatnya
Hasil tangan makhluk berindera
Melihat tapi tidak perasan
Lebih-lebih lagi tidak berperasaan
Mendengar tapi tidak mengerti
Bijak berbicara tidak melaksana
Alam sekitar dipandang sepi

Pantai Dalam KL
24/05/14
1.23am

Perindu Desa

Teringat dia waktu dulunya
Sewaktu membesar di halaman rindu
Ketika dia girang bermain
Berkejar-kejaran di tanah berpasir
Diiringi indah lagu decitan unggas
Melagukan kisah kehidupan di desa
Bukan cereka karangan 
Bukan rekaan deklamator

Ia kisah lalu yang masih segar
Dalam benak perindu desa
Taman asuhan sekolah kehidupan
Tempat mengenal Tuhan
Dari warna-warni bunga-bungaan
Dari sawah yang luasnya terbentang
Dari ternakan yang membiak subur
Dari perkebunan yang kaya hasilnya

Zaman itu
Mereka belum celik teknologi
Namun hati mereka tidak buta kasih sayang
Mereka bertemu di alam nyata
Tiada berselindung di sebalik tabir maya
Bertegur sapa perkara biasa
Mereka menjaga tepi kain bersama
Mengambil tahu agar sejahtera
Satu kampung bagaikan sebuah keluarga
Darahnya bersatu di muara kasih Ilahi

Pantai Dalam, KL
23/05/14
12.44pm

Sunday, 11 May 2014

TOPENG (Bahagian 1)

Gadis itu merenung jauh ke luar jendela. Burung-burung yang berterbangan berkawanan di awan biru menjadi hiburannya di saat itu. Tidak semena-mena manik-manik jernih mengalir keluar dari anak matanya yang tadinya berkaca. Daripada titisan bertukar menjadi aliran yang dirasakan hangat. Hidungnya turut dirasakan berair. Ya, dia sedang menangis. Kolam tangisan yang sudah lama ditahan daripada terhambur. Bersama tangisan itu dapat dirasakan suatu kepuasan dan kelapangan di dadanya. Terasa beban kesakitan yang dipendamnya selama ini sedikit berkurang. Fikirannya melayang, terbang secara berundur ke masa lalu. Saat dia mula mengenali seseorang yang disangkakan sahabat sejati.
…………………………………………………

“Hai, assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

“Nama saya Fatihah. Nice to meet you.”

“Saya Adibah.” Dia menjawab ringkas dengan sedikit senyuman. Barangkali tidak tahu untuk membalas ucapan yang berbahasa Inggeris itu.

Fatihah, gadis periang itulah orang pertama yang dikenalinya sejak kali pertama melangkah masuk ke alam kolej. Fatihah merupakan seorang yang agak lincah, berpakaian agak kasual dan santai. Dia selesa memakai baju kemeja atau blaus dan dipadankan dengan jeans longgar. Agak jarang sekali dia memakai baju kurung melainkan jika ada majlis-majlis yang memerlukannya memakai pakaian tradisi Melayu tersebut. Rimas katanya selain membataskan pergerakannya.

Sungguhpun perwatakannya begitu, namun Fatihah tidak segan berkawan dengan Adibah, seorang gadis yang sopan, lemah-lembut dan tidak banyak bercakap. Adibah lebih banyak mendengar berbanding berkata-kata. Dia hanya akan bercakap apabila dirasakan perlu. Adibah sering sahaja menjadi tempat untuk Fatihah menceritakan kisah-kisah lucunya sehari-hari dan berkongsi masalah. Sebagai sahabat karib yang mengenali dan memahami Fatihah, Adibah tidak jemu memberikan kata nasihat dan perangsang kepada Fatihah walaupun Fatihah sering memberontak.

Aneh bukan? Bagaimana mereka boleh berkawan rapat sedangkan kedua-duanya kelihatan sangat berbeza dari segi perwatakan. Rakan-rakan mereka turut hairan melihat keakraban mereka. Ada juga kata-kata sinis yang kononnya Fatihah sengaja ingin mengambil kesempatan atas kebaikan Adibah. Adibah hanya menulikan telinga tatkala mendengar desas-desus sebegitu. Baginya biarlah dia ikhlas dalam persahabatannya dan hatinya sangat yakin bahawa Fatihah juga begitu. Dia tidak mahu kepercayaannya terhadap Fatihah terjejas.

Adibah terus berkawan dengan Fatihah seperti biasa. Dia seorang yang ringan tulang dan tidak mudah menolak jika Fatihah memerlukan pertolongan, bahkan dia sendiri selalunya akan menawarkan diri untuk menolong. Walaupun mereka tidak tinggal sebilik di kolej kediaman, namun Adibah rajin bertandang ke bilik Fatihah.

Kebaikan Adibah terhadap Fatihah mengundang cakap-cakap belakang kononnya Fatihah membuli Adibah. Seperti biasa Adibah terus memekakkan telinga walaupun hatinya sudah mula sedikit kurang enak. Kata-kata liar itu seakan-akan sudah mula  mempengaruhinya. Dia mula sedikit sangsi, namun cuba disorokkan perasaan itu tatkala berada di samping Fatihah. Pesanan seorang rakan sebiliknya pada suatu hari membuatkan dia sedikit berhati-hati agar tidak menjadi ‘pak turut’ kepada Fatihah.

“Adibah, awak jangan marah ya kalau saya nak cakap sesuatu.” Suhailah memulakan bicara.

“Cakaplah, ada apa-apa yang awak rasa tak kena ke dengan saya.” Adibah menjawab sambil menguntum senyuman di bibir.

“Bukan apa, saya tengok awak ni baik sangat dengan Fatihah tu. Saya bukannya tak suka cuma saya tengok kadang-kadang dia tu macam nak ambil kesempatan je atas kebaikan awak.”

“Oh ye ke…? Nampak sangat ke? Saya tak rasa macam tu pun.” Adibah menjawab sedikit berbohong. Jauh di sudut hatinya dia sudah mula merasakan kelainan dalam hubungannya dengan Fatihah. Keikhlasan Fatihah mula diraguinya.

“Tak mengapalah kalau awak tak rasa macam tu. Cuma saya harap awak berhati-hati je dengan dia. Tak salah kita berkawan dan berbuat baik dengan orang, tapi jangan sampai orang memijak kepala kita."

Walaupun dia sedar tidak elok dia bersangka buruk namun dia mengambil langkah tersebut bagi mengelakkan dirinya dipergunakan dan diambil kesempatan.


Saturday, 10 May 2014

Jiwaku Seorang Guru

Pabila diri sendiri menyemak kertas 'mid-term test' murid-murid barulah mengerti perasaan para guru pabila murid-murid gagal menjawab dengan baik. Pada masa yang sama mengerti perasaan murid-murid yang sukar menjawab walaupun soalan sangat 'mudah' atau 'simple' bagi kita. Benarlah, keupayaan manusia berbeza-beza. 

Melihat wajah mereka, aku tak sampai hati nak marah, bahkan aku merasakan tak perlu marah kerana paling tak aku dapat mengetahui di mana kelemahan mereka. Cuma aku bimbang memikirkan cara untuk memahamkan mereka, tanggungjawab yang berat bagiku. Aku juga tak menganggap mereka gagal atau tak bijak tetapi meyakini bahawa mereka mempunyai kebolehan dalam bidang lain. Atau mungkin mereka perlu usaha lebih untuk menguasai ilmu tersebut.


Ketika ujian dijalankan

Adakalanya, persoalan yang mereka lontarkan bahkan memberi jawapan dan membuka pemikiranku. Perasaanku seronok pabila ditanya soalan kerana aku dapat merasai 'keberadaanku' di dalam kelas, walaupun aku sendiri bukanlah seorang yang aktif di dalam kelas dulu. Makanya aku dapat menyimpulkan bahawa tak bertanya tak bermaksud seseorang itu tak tahu tetapi mereka memerlukan pendekatan yang berbeza.

Aku tak mahu memarahi mereka kerana tak mampu 'skor' sebaliknya memberi nasihat dan dorongan kurasakan lebih baik kerana aku juga pernah berada di dalam kasut mereka. Jiwa seorang remaja tak suka dimarahi dan dileteri.

Kusedari, seorang guru bukan sekadar mengajar bahkan turut belajar. Belajar memperbaiki diri untuk menjadi contoh yang baik. belajar mengawal nafsu dan emosi. Belajar mengatasi ego pabila melakukan kesalahan.

Terima kasih para guruku. Atas jasa kalian aku mengetahui dan memahami sesuatu, yang namanya ILMU dengan izin Allah yang Maha Bijaksana, yang meminjamkan secebis dari lautan ilmuNya. Semoga Allah berkati dan rahmati para guru kita.

Belajar Dari Anak Kecil

Suatu hari, di dalam kelas mengaji,seorang murid perempuan berumur sekitar 8 tahun memberitahu saya bahawa ayahnya telah meninggal dunia akibat terjatuh di dalam bilik air. Apabila ditanya, dikatakan ayahnya menghidap penyakit kencing manis. Kelihatan wajahnya tenang, seperti hari-hari biasa, tiada riak kesedihan. Mungkin kerana masih kecil atau mungkin dia telah meredhainya. 

Usai bercerita, seorang rakannya, lelaki mencelah, "Ala...ayah saya dah lama meninggal." Melihat lagak anak kecil itu yang biasa saya bertanya, "Bila ayah kamu meninggal?" Dia menjawab, "Masa umur saya 5 tahun."

Seorang lagi rakannya yang perempuan juga mencelah dengan bersahaja, "Mak dan ayah saya dah bercerai. Yang ada kat rumah semua perempuan."

Sebak saya mendengar kisah mereka. Mereka begitu jujur, dan seperti tiada apa-apa yang berlaku. Mungkin mereka sudah lali. Saya tidak bertanya banyak. Lalu saya mengajarkan kepada mereka doa untuk ibu bapa disertai sedikit nasihat agar mentaati ibu bapa dan mendoakan mereka, dan menjadi anak yang mentaati Allah.

Ya Allah terima kasih kerana mempertemukan aku dengan anak-anak itu, sehingga aku belajar sesuatu. Ya Allah, kasihanilah mereka, peliharalah mereka, dan jadikanlah mereka anak-anak yang soleh dan berkebajikan.


Anak2 muridku...Zahra dan Nurin

Kampung Girl Masuk Bandar!

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi w.b.t. Salam Sabtu!

Minggu ni saya tak ke mana2. Biasanya hujung minggu saya akan pulang ke Melaka, kampung halaman yang dicintai. Siapa tak sayang tanah tempat membesar kan kawan2...walaupun saya tak dilahirkan di Melaka, tapi di tanah inilah saya mengenal dunia. Meniti sebahagian besar alam kanak2 dan remaja.

Bila kita bercakap tentang 'kampung', kenapa orang suka balik kampung ya? Apa istimewanya. Orang yang mengaku orang bandar pun, sampai waktu dan ketika, dia tetap akan mahu pulang ke kampung halaman. Ya, sudah tentulah ada tarikan di kampung yang tiada di bandar kan. Tetapi sebab pertama kita pulang ke kampung pastilah untuk menziarahi kedua2 insan yang kita sayangi kan, ibu dan ayah kita. Selain daripada itu, apa? Haa...biasanya orang akan mengatakan bahawa dengan pulang ke kampung mereka akan beroleh ketenangan yang sukar didapati di bandar2. Mereka ingin menjauhkan diri dari kesibukan kota. Ini saya sangat setuju.

Inilah kisah saya! Kisah kehidupan di kotaraya, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebuah bandar yang memiliki kepadatan yang tinggi ditambah dengan bangunan2 yang tinggi2. MasyaAllah! Sebelum ini saya tak pernah jangka akan tinggal di Kuala Lumpur. Sebabnya saya tak suka suasana yang sibuk. Namun, takdir Allah telah menentukan untuk saya merasai kehidupan di kota ini. Bayangkan, sepanjang hampir 5 tahun saya belajar di Nilai yang boleh dikatakan hampir dengan Kuala Lumpur, namun saya agak jarang sekali berjalan2 atau meronda2 sekitar Kuala Lumpur. Mungkin saya sendiri yang malas untuk keluar.Yes, I'm an indoor person! Ataupun saya lebih suka katakan yang tiada sebab untuk saya pergi ke tempat2 membeli-belah, window shopping, apatah lagi di tempat yang sibuk seperti di Kuala Lumpur. Oh, sangat memeningkan!


Window shopping bukan hobi saya, bukan minat saya. Saya akan berminat untuk keluar hanya jika saya ada wang untuk membeli sesuatu. Tambahan pula, saya merupakan seorang yang sukar untuk membuat pilihan ketika membeli. Saya akan menjadi rambang mata melihat pelbagai produk yang menarik dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong atau paling tidak dengan sesuatu sekadar 'syarat' untuk dibawa pulang. Saya hanya akan membeli sesuatu apabila merasakan ia sangat diperlukan.

Apapun, saya bersyukur kerana berpeluang tinggal di Kuala Lumpur walaupun hanya untuk tempoh 4 bulan, terlalu banyak yang saya pelajari. Belajar tentang ragam penduduk kota, gaya hidup mereka, masalah2 mereka, belajar menaiki kenderaan awam, bahkan bertukar2 dari satu ke satu kenderaan, dari bas ke LRT dan sebagainya yang saya pun kurang mahir tentang itu. Alkisah menaiki kenderaan awam ni, ada suatu kisah yang agak melucukan dan sedikit memalukan saya. Pertama kali menaiki bas Rapid KL yang menggunakan mesin untuk mengeluarkan tiket. Saya yang beratur di belakang kawan saya cuba menyentuh mesin 'touch n go' sebaik sahaja melihat kawan saya berbuat begitu sedangkan saya bayar secara cash! Oh....sangat memalukan! Dulu semasa di Melaka saya biasa menaiki bas ketika pulang dari sekolah tetapi menggunakan tiket 'koyak' secara manual. Duit diberikan kepada konduktor atau pemandu bas sendiri berbeza dengan bas Rapid KL yang menyediakan tabung atau semacam tong khas untuk memasukkan tambang.


Hurm...banyak lagi yang saya belajar. Salah satu yang mengujakan saya ialah penggunaan IC atau kad pengenalan untuk 'touch n go'. Faedahnya saya tak perlu beratur panjang untuk membeli tiket atau membayar tambang. Ingat, kalau bayar cash tak payah nak sentuh2 mesin 'touch n go' tu ya...haha...Biasa la 'kampung girl' la katakan. Ibarat rusa masuk kampung. urm...sesuai ke perumpamaan ni?? Ataupun macam ayam kampung masuk bandar. Ayam kampung yang dagingnya liat, sukar untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di bandar. Hidup di bandar ni memang kena laju. Nak naik kenderaan awam pun kena laju, banyak kena jalan but it's good in a way!


Kesimpulannya, kat mana2 pun kita tinggal ada baik dan buruknya, ada sahaja peluang untuk kita belajar sesuatu. Bagi saya, cukup untuk saya katakan yang saya memang tak sesuai tinggal di Kuala Lumpur. Kalau boleh pilih saya tak mahu tinggal di bandar yang sibuk seperti di Kuala Lumpur, namun jika takdir sudah menentukan, apa mahu buat! Pasrahkan saja!

Ini hanyalah sebahagian kecil daripada coretan hidup saya di KL. Mungkin ada lagi yang akan saya kongsikan selepas ini. Nantikan! Macam la ada orang nak baca sangat Athirah ooii...Wassalam.




Kisahku Seorang Guru

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum w.b.t.

Lama rasanya tak update blog. Entah la perasaan malas membuak2. Malas nak menaip panjang2. Kalau ada ilham puisi yang datang pun saya lebih selesa dan mudah taip dan post di FB sahaja. Malam ini tiba2 tergerak pula nak update. Terimalah wajah baru blog Penglipur Lara ni...hehe...

Banyak cerita, luahan rasa yang terpahat yang sukar untuk dicoret di sini. Mungkin bahasa untuk menterjemahkannya sukar didapati. Sekarang ni, saya sedang meniti saat2 berbaki berpraktikal di Fathul Ilmi. Pengalaman mengajar kanak2 mengaji di samping mengajar tuisyen matematik Tingkatan 3 memang takkan dapat dilupakan.

Ya, saya berada dalam proses pembelajaran. Belajar bagaimana untuk mengajar dan lebih berat lagi bagaimana untuk mendidik. Pendekatan kepada kedua2 golongan pelajar kanak2 dan remaja pastinya berbeza. Jika dengan kanak2 kita boleh meninggikan suara, marah atau sedikit pukulan yang tidak mencederakan dengan tujuan untuk mendidik, berbeza dengan pelajar yang di usia remaja. Pastinya mereka memiliki jiwa yang suka memberontak. Maka, kaedahnya mestilah lebih lembut. Sebolehnya saya cuba mengelakkan daripada meleteri mereka.

Sangat banyak yang saya pelajari sepanjang tempoh latihan industri ini walaupun secara bersihnya saya cuma mengajar 2 jam sehari, namun sudah cukup menyedarkan saya bagaimana sukarnya untuk menjadi seorang guru. Jika saya sudah letih mengajar hanya untuk 2 jam, apatah lagi guru2 yang mengajar di sekolah mengikut waktu yang ditetapkan. Allahuakbar! Sungguh besar jasa seorang guru. Semoga Allah memberkati guru2 kita.

Sejujurnya, saya tak dapat menipu bahawa jiwa saya sangat dekat dengan bidang perguruan atau pendidikan ini. Saya suka mengajar. Mungkin juga kerana ayah saya juga seorang guru, kuah itu benar2 jatuh ke nasi. Namun, saya tak pasti samada saya sudah memiliki kecukupan untuk menjadi seorang guru atau tidak. Tapi, saya perasan bahawa saya memiliki kekurangan dari segi kelantangan suara. Bayangkan bagaimana tenggelamnya suara saya dalam kebisingan dan kekecohan  murid2 di dalam kelas. Memang boleh terkeluar anak tekak walaupun hanya mengajar untuk 2 jam! Hahaha...

Apa2 pun telatah murid2, besar atau kecil sangat menggelikan hati saya. Kesungguhan mereka dan minat untuk mendapatkan ilmu mendorong saya untuk tak jemu dalam terus membimbing mereka. Mudah2an ilmu itu bermanfaat buat mereka dan saya di akhirat kelak. InsyaAllah. Sekian dahulu untuk 'this comeback post' daripada saya. Moga2 Allah meringankan tangan dan memberi idea untuk saya menulis lagi selepas ini. Wallahua'lam. WASSALAM.

Tribute Buat Ibu

Sayu
Tubuh tua itu tidak lelah
Biar tubuhnya sudah lemah
Masih gigih kudrat dikerah
Kasihnya dicurah
Merawat anak yang ditimpa musibah
Sabar berkat nama yang dianugerah

Hai anak
Tidakkah terlihat
Kasih tulus wanita itu
Tidakkah kamu rasakan cintanya
Nyaman sentuhannya
Dia yang dari rahimnya kamu keluar
Dia yang dari air tangannya kamu makan
Dia yang dari susunya kamu membesar
Dia yang tidak pernah letih
Dia ibumu

7.50pm
27/03/2014


Friday, 9 May 2014

Buku Misteri

Buku itu
Sukar dibaca
Jika dapat dibaca
Tetap sukar difahami
Letaknya jauh di satu sudut
Sepi tidak berbunyi

Buku itu
Ia penuh misteri
Helaiannya bertambah sehari-hari
Tiada nokhtah berhenti
Tidak akan
Selagi nafas belum berhenti

Buku itu
Isinya penuh rahsia
Coretan rasa suka dan hiba
Sarat dan padat
Berat 

Pantai Dalam, KL
1.35am
24/04/2014


Wednesday, 5 March 2014

Bukan Rindu Palsu

Pemuda itu
Dia bilang rindu
Rindu pada kekasih
Dia tidak keruan
Dia ingin berjumpa
Dia sudah berjanji
Tapi mungkir selalu
Dia datang lewat waktu
Adakala dia langsung lupa

Kali ini
Awal dia datang
Dia tunduk malu
Dia rasa berdosa
Hina sehina-hinanya
Dia memohon merayu
Mohon diberi waktu
Memperbaiki janji palsu
Menanam azam baru

Kali ini
Rindu itu tidak palsu lagi

Nilai,
12:35am


Garisan

Garisan
Penamat atau pemula?
Tika aku sudah mula lelah
Ia semakin mendekat
Kuintai ia bersama keluhan
Kulihat-lihat jika ada harapan
Ya aku nampak!
Ia ada di situ
Di balik rimbunan kasih
Dan aku mula mengayuh kembali
Tidak sabar rasanya
Menyambut santun kasihNya
Pastinya bersama harapan.

Nilai,
1:05am
6/1/14


Rahmat Rindu

Rindu
Ia satu rahmat
Bila yang jauh terasa begitu dekat
Diikat tali maknawi erat dan kemas

Rindu
Patut jadi pemangkin semangat
Menjadi pendorong mencapai matlamat
Jangan ia mensia keringat
Usaha lalu yang lama dikerjakan
Kuatkan jiwamu hai sahabat!

Nilai,
10/01/2014
11.37pm



Gadis Itu

Gadis itu
Diam seribu bahasa
Bibirnya bisu tanpa kata
Sunyi tanpa suara

Gadis itu
Bukan bisu sebenarnya
Perkataannya tertulis di ruang hati
Bicaranya terbit pada waktu tertentu

Gadis itu
Tampak serius pada rautnya
Tawar tanpa senyuman
Bisa sahaja mengundang prasangka
Orangnya sukar dibuat kawan

Gadis itu
Biarpun kurang ramahnya
Tetap mesra setelah disapa
Buat yang mengenalinya
Dia juga manusia biasa

Gadis itu
Seperti orang lain juga
Punya keinginan dan cita
Punya fikrah dan idea
Cuma bezanya dia
Menjadikan pena sebagai lidah


Yang Sebenarnya Wanita


Wanita
Diciptakan Tuhan indah
Parasnya bisa menawan
Menggugah iman
Bergetar di jiwa pemuda

Wanita
Usah kau perasan
Bahawa kau menjadi rebutan
Pabila ulahmu mencuri perhatian
Jika itu hanya tempelan
Kalau itu cuma lakonan
Tidak lebih sekadar topengan

Wanita
Yang sebenarnya wanita
Yang indah dipandang
Yang menundukkan pandangan
Yang berbicara lantang
Namun kaya dengan kesopanan
Yang berfikiran matang
Tidak gentar berwawasan
Malunya perisai
Taatnya hanya pada Allah
Dialah wanita solehah

Pantai Dalam, KL
28 Feb 2014
1:50am

Langit Kini

Kulihat langit
Langit kini yang miskin awannya
Mahal titis airnya
Dek kerana dunia yang semakin murah
Modenisasi mengubah iklim
Tanah menjadi kering
Pohon yang pernah hijau kini meluruh
Hijaunya meluntur
Dahannya rapuh
Di tanah ini

27/02/2014
11:56am



NEW POST: Latihan Industri

Assalamualaikum w.b.t. kawan2...lama rasanya tak bersihkan sawang di blog saya ni. Huhu...agak berat tangan ni nak mengupdate 'NEW POST' walaupun selalu je buka laptop. Huhu

So, the latest update from me, sekarang ni saya dah mula memasuki semester 8, semester akhir sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa Dengan Kepujian di USIM, insyaAllah. Apapun bukan ijazah itu yang menjadi idaman tetapi ilmu yang diharapkan tidak luntur bersama berlalunya masa. Itu yang paling saya bimbangkan. Moga2 Allah pelihara dan kekalkan apa2 sahaja ilmu yang telah kupelajari sepanjang hampir 5 tahun di bumi USIM.

Sekarang ni, saya sedang berpraktikal di Akademi Al-Quran Fathul 'Ilmi, sebuah industri swasta yang berasaskan pendidikan. Pusat mengaji Al-Quran ni terletak di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Hurm...so, what do you think about teaching Al-Quran while you're not learnt in that field, like you're not taking the course for that reason. Mungkin ada sesetengah orang akan pandang lekeh terhadap golongan graduan yang hanya mengajar Al-Quran sedangkan mereka memiliki ijazah dalam bidang tertentu. Dalam situasi saya pula, sejauh mana bidang pekerjaan ni berkaitan dengan kursus yang saya ambil di universiti? Tambahan pula, ramai kawan2 yang berpraktikal di mahkamah, pejabat2 agama, jabatan mufti, dan firma2 guaman yang kelihatan lebih berkaitan dengan kursus kami. Ada juga yang berpraktikal di pusat kajian halal dan hospital.

Hehe...sebenarnya, selepas mengikuti Program Transformasi Kerjaya pada hujung semester yang lepas saya mula yakin bahawa bidang pendidikan Al-Quran ni adalah satu cabang yang boleh diceburi. Cuma, kreativiti sangat diperlukan untuk masuk dalam dunia perniagaan. Saya tak nafikan yang jiwa saya sangat dekat dengan pendidikan berbanding kerja2 di pejabat. Huhu...Anyway, kita tak perlu bimbang apapun bidang yang kita ceburi asalkan bermanfaat untuk ummah. Lagipun, skop kerjaya bagi graduan Syariah sangat luas. Mahu atau tidak sahaja.

Apapun, seronok juga bekerja di Fathul 'Ilmi ni. Seronoknya sebab saya boleh buat dan aplikasikan benda yang saya minat di samping belajar benda2 baru. Cabarannya semestinya ada walau di mana sekalipun kita berada. Bagi saya di sini, selain melayan kerenah murid2, kami dilatih untuk menjalankan projek sendiri bermula dari A. Senang kata, bagaimana mahu memasarkan servis atau produk yang kita ada. It's all about business and marketing plan and strategy. Interesting! Selain itu, kami juga digalakkan untuk menganjurkan aktiviti yang bersifat kemasyarakatan. Bagus la...the message is, other than we run a project for profit, we must have something to do for the society, right? It's like we're doing a business for the hereafter. Worth!




Ok. Rasanya dah panjang sangat dah NEW POST ni. Eloklah kiranya saya hentikannya sebelum ianya menjadi sebuah novel. Kalau kat luar sana, orang duk sibuk membenih awan, saya di sini pula sedanng membenih idea untuk penulisan yang seterusnya. Hehe...Wassalam



Jazakumullah kheir ^^


Terima Kasih.

Datang Lagi!!